KESULTANAN OMAN, Khamis, 28 Jun 2018 – Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mengadakan lawatan rasmi ke Tentera Darat Kesultanan Oman (RAO) dari 25 Jun hingga 27 Jun 2018.

Ketibaan Pemerintah TDDB di Markas Tentera Darat Diraja Kesultanan Oman dialu-alukan oleh Yang Mulia Mejar Jeneral Psc (J) Matar bin Salim bin Rashid bin Al Balushi, Pemerintah RAO dan seterusnya  memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri dari anggota dari Tentera Darat Diraja Oman. Pemerintah TDDB kemudiannya membuat kunjungan hormat kepada Yang Mulia Mejar Jeneral Psc (J) Matar bin Salim bin Rashid bin Al Balushi Pemerintah Tentera Darat Diraja Oman, diikuti dengan kunjungan hormat kepada Yang Mulia Leftenan Jeneral Ahmed bin Harith Al Nabhani, Ketua Staf Angkatan Tentera Kesultanan Oman, dan Yang Mulia Marsyal Madya Udara Matar Ali Matar Al-Obadaini, Pemerintah Tentera Udara Diraja Oman.

Sebahagian daripada program tersebut, Pemerintah TDDB telah berpeluang untuk membuat lawatan ke Museum Angkatan Tentera Kesultanan Oman di Bait Al-Falaj dan kemudian melawat ke bengkel penyelenggaraan dan kemudahan latihan di Sultan of Oman Armours di Perkhemahan Shafa’ dan seterusnya ke Sultan of Oman Artillery di Perkhemahan Izki. 

Lawatan Pemerintah TDDB bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan tentera, di mana TDDB dan RAO telah bekerjasama dalam bidang logistik, serta kursus dan latihan.