REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 11 April 2018
  – Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah membuat lawatan pengenalan ke Republik Singapura bermula pada 9 hingga 11 April 2018.

Ketibaan Pemerintah TDDB di Kementerian Pertahanan Republik Singapura dialu-alukan oleh Yang Mulia Brigedier Jeneral Goh Si Hou  Ketua Tentera Darat Angkatan Bersenjata Republik Singapura dan kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormatan yang diberikan oleh Angkatan Bersenjata Republik Singapura. Seterusnya, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Brigadier Jeneral Goh Si Hou, Ketua Tentera Darat Angkatan Bersenjata Republik Singapura, Yang Mulia Mejar Jeneral Melvyn Ong, Ketua Turus Angkatan Bersenjata Republik Singapura yang baru dilantik, dan kemudian kepada Tuan Yang Terutama Dr. Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Republik Singapura.

Kedua belah pihak memuji hubungan pertahanan yang erat di antara TDDB dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura dan mengesahkan kerjasama pertahanan dua hala di antara kedua buah negara dimana sejarah kesetiakawanan antara kedua buah negeri tersebut adalah berdasarkan kepercayaan dan kerjasama. Diantara perkara-perkara yang ditekankan ketika kunjungan tersebut adalah perkongsian kemudahan dan prasarana latihan dan penerimaan peserta kursus dari luar.

Sebagai sebahagian lawatan beliau, Pemerintah TDDB telah membuat kunjungan ke SAFTI MI dan Rejimen Berperisai Singapura. Pemerintah TDDB juga menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Ketua Tentera Darat Angkatan Bersenjata Republik Singapura. 

Lawatan pengenalan Pemerintah TDDB menandakan kerjasama yang kuat dan hubungan pertahanan yang erat di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura yang semakin terjalin melalui kunjungan rasmi, interaksi yang kerap, eksesais dua hala dan pelbagai hala, pertukaran profesional serta latihan dan kursus. Kedua tentera mengesahkan hubungan dua hala yang sudah lama bertahan, serta mengesahkan komitmen yang berpanjangan dengan tujuan untuk mengeratkan lagi perhubungan diantara kedua-dua buah angkatan darat.