BERAKAS GARISON, Rabu 06 Disember 2017 - Yang Mulia Pengiran Dr Haji Md Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Md Yunus, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi Kementerian Pertahanan telah membuat lawatan kerja ke Markas Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Sejurus tiba di Markas TDDB, Yang Mulia Pengarah telah disambut oleh Yang Mulia Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Timbalan Pemerintah TDDB dan diteruskan lagi dengan kunjungan kerja kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB.
Yang Mulia Pengarah seterusnya beredar ke Bilik Taklimat bagi mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Leftenan Kolonel Tamin bin Tuah, Pemerintah Kejuruteraan Darat TDDB dan Yang Mulia Leftenan Kolonel Awang Mutalip bin Bujang, Penolong Ketua Staf Logistik. Taklimat tersebut adalah bertujuan untuk membincangkan mengenai isu-isu kelengkapan serta keupayaan tentera yang terdapat di dalam unit TDDB.
Sebaik sahaja penyampaian taklimat selesai, Yang Mulia Pengarah seterusnya di jemput bagi sesi bergambar ramai.

