PENANJONG GARISON, Rabu 06 Disember 2017 – Yang Mulia Pengiran Dr Haji Md Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Md Yunus, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi Kementerian Pertahanan telah membuat Lawatan Kerja ke Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (Bn Bantu TDDB).
Sejurus tiba di unit Skuadron Kereta Peninjau Perisai (SKPP), Yang Mulia Pengarah telah di sambut oleh Yang Mulia Mejar Mohd Shalleh bin Haji Ismail, Pemangku Pegawai Pemerintah Bn Bantu TDDB. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Staff TDDB, Yang Mulia Leftenan Kolonel Haji Mohammad Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin dan Pemerintah Kejuruteraan Darat TDDB, Yang Mulia Leftenan Kolonel Tamin bin Tuah.
Lawatan dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya Yang Mulia Pengarah dibawa oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Bn Bantu TDDB untuk menyaksikan Pameran Statik Kenderaan CVRT Scorpion, jenis-jenis peluru yang terdapat pada CVRT Scorpion dan perahu Skuadron Bot Tempur (SBT). Seterusnya Yang Mulia Pengarah dibawa ke unit Skuadron Jurutera Tempur (SJT) untuk memeriksa kenderaan dan kelengkapan unit Pertahanan Kimia, Biologi Radiologi dan Letupan (KBRL) di Hanger SJT.
Yang Mulia Pengarah juga berkesempatan menembak Pistol di Galeri 1, Padang Tembak Binturan. Lawatan Yang Mulia Pengarah di akhiri dengan makan tengahari di Mes Galeri 1 dan menandatangani Lembaran Kenangan.


