PERKHEMAHAN LUMUT, Rabu 21 Mac 2018 – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh telah meneruskan sesi lawatan kerja ke Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3Bn TDDB) bersama rombongan daripada Markas TDDB.

Ketibaan Yang Mulia Pemerintah TDDB telah disambut dengan perbarisan kawalan kehormatan yang diketuai oleh Yang Mulia Lt Khairul Asri bin Hasbi dengan diiringi oleh pasukan Panji-panji dan Platun Serunai 3Bn TDDB. Sesi lawatan kerja Yang Mulia Pemerintah TDDB dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Yang Mulia Lt Kol Erwan bin Hj Ibrahim selaku Pegawai Pemerintah 3Bn TDDB dan diteruskan dengan penyampaian taklimat oleh Yang Mulia Mej Pg Hamzah bin Pg Ahmad Damit, Pemangku Timbalan Pegawai Pemerintah 3Bn TDDB bertempat di bilik Mesyuarat Markas 3Bn TDDB.

Yang Mulia Pemerintah TDDB menekankan mengenai dengan kebajikan anggota yang perlu diambil perhatian dan juga kepentingan sekuriti dan keselamatan didalam semua aspek didalam mahupun diluar perkhemahan. Yang Mulia Pemerintah TDDB juga memberi saranan untuk memperbanyakkan latihan dan eksesais dari peringkat platun, kompeni dan batalion bagi meningkatkan kompetensi setiap anggota, termasuk kursus-kursus yang perlu dihadiri hendaklah selari dengan jawatan yang dipegang bagi setiap anggota.

Lawatan kerja diteruskan dengan Yang Mulia Pemerintah TDDB menyaksikan demonstrasi penyuraian rusuhan bertempat di padang kawad 3Bn TDDB dari Kompeni A yang telah diketuai oleh Yang Mulia Lt Afandi bin Juna, yang mana taktik tersebut telah diajarkan oleh anggota daripada
1 Royal Gurkha Rifles (1RGR) pada tahun lepas yang mana ianya ada sedikit perbezaan dengan apa yang dipraktikkan sekarang.