BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 13 September 2018 – Ahli-ahli Badan JPKN ABDB telah mengadakan lawatan kerja ke Biro Kawalan Narkotik, Jalan Tungku Gadong.
Rombongan lawatan kerja yang julung kalinya diadakan ini diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei selaku Pengerusi JPKN ABDB. Lawatan kerja tersebut telah disambut oleh Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi yang turut disertai oleh Pegawai-pegawai Kanan BKN.
Adapun objektif siri lawatan kerja kali ini bukan sahaja sebagai lawatan pengenalan kepada Pengerusi JPKN ABDB yang baru dilantik malahan dijadikan sebagai satu wadah bagi mengukuhkan jalinan kerjasama yang telah lama terjalin melibatkan kedua belah pihak. Selain itu, lawatan ini juga dilihat sebagai satu platform bagi mewujudkan jentera khusus dari kedua-dua agensi dalam menangani apa jua isu penyalahgunaan dadah yang merangkumi pelbagai aspek pendidikan, pencegahan, pemulihan, undang-undang dan sebagainya yang boleh memberikan manfaat kepada semua pihak.
Sesi lawatan tersebut turut diisikan dengan sesi taklimat khas dari beberapa orang Pegawai dari Cawangan Risikan dan Perlaksana, BKN yang disusuli dengan segmen lawatan ke Galeri Pendidikan Pencegahan Dadah dan disudahi dengan sesi bergambar ramai.



