PENANJONG GARISON, Rabu, 06 Jun 2018
 – Seramai 54 anggota Pegawai-Pegawai Kadet dari Sekolah Pegawai Kadet (SPK), Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-17 telah membuat lawatan ke Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang berlangsung di Batalion Bantu (Bn Bantu) TDDB. Rombongan lawatan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Lt Abdul Qahhar bin Hj Mulok, Ketua Platun 1 Pengambilan ke-17.

Adapun tujuan lawatan tersebut diadakan adalah bagi memberi pendedahan mengenai tugas dan tanggungjawab TDDB, mengenali aset-aset utama dan keupayaan termasuk kelengkapan-kelengkapan yang terdapat di TDDB.

Lawatan dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Yang Mulia Mejar Hj Nafisal @ Dedy bin Hj Salim, Pegawai Memerintah Kompeni Markas Bn Bantu TDDB. Seterusnya taklimat ringkas mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab TDDB telah disampaikan oleh Yang Mulia Kapt Lizawati binti Haji Suhaili, Pegawai Kaji Selidik, Markas TDDB. Pegawai-pegawai Kadet juga berkesempatan untuk mendengar beberapa taklimat pengenalan Bn Bantu TDDB seperti Skuadron Kereta Perisai (SKPP) yang disampaikan oleh Yang Mulia Kapt Md Asmafahmi bin Hj Md Sultan, Penolong  Pegawai Memerintah, SKPP, Skuadron Jurutera Tempur (SJT) oleh Yang Mulia Kapt Muhammad Rafie bin Haji Abd Wahid, Penolong Pegawai Memerintah SJT dan Unit Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan (KBRL) yang disampaikan oleh Yang Mulia Lt Nur Shazeerah binti Radinkanoro, Penasihat Geledah KBRL.

Pegawai-Pegawai Kadet seterusnya dijemput untuk sesi bergambar ramai dan diteruskan untuk menyaksikan pameran statik seperti melihat dengan lebih dekat kenderaan
CVRT Scorpion, jenis-jenis peluru yang terdapat pada
CVRT Scorpion,
Air Boat dari unit Skuadron Bot Tempur (SBT) dan pameran dari unit-unit lain dibawah Bn Bantu dan Batalion Kedua (2Bn) TDDD termasuk persenjataan, Kereta Angkut Perisai, Meriam Katak dan peralatan dari Platun Gerak Khas.