BERAKAS GARISON, Isnin 06 Ogos 2018
– Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima kunjungan dari Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), yang mengadakan kunjungan penghargaan ke Negara Brunei Darussalam bermula pada 05 Ogos 2018 hingga 06 Ogos 2018.

Sejurus tiba di Markas TDDB, Berakas Garison, Yang Berbahagia Panglima TDM telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Ketiga TDDB dan diketuai oleh Yang Mulia Leftenan Md Affandi bin Juna. 

Yang Berbahagia Panglima TDM seterusnya membuat Kunjungan Hormat kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Hj Lampoh, Pemerintah TDDB.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-kedua pihak telah menekankan hubungan pertahanan dua hala yang rapat di antara Brunei Darussalam dan Malaysia yang sudah lama terjalin melalui pertukaran lawatan, mesyuarat serta pertukaran ketenteraan antara TDDB dan TDM. Pemerintah TDDB juga turut merakamkan setinggi-tingi penghargaan kepada Panglima TDM di atas kesudian membuat kunjungan tersebut. Beliau seterusnya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Panglima TDM di atas persaraannya pada bulan September 2018.

Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri juga berkesempatan untuk membuat Kunjungan Hormat kepada Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.