BERAKAS GARISON, Isnin 30 April 2018 – Yang Mulia Air Commodore Abu Bakar Abdul Kadir, Penasihat Pertahanan Nigeria yang diakreditasi ke Negara Brunei Darussalam dan menetap di Kuala Lumpur, Malaysia, pada hari ini telah mengadakan kunjungan hormat pengenalan kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison. Pemerintah TDDB mengalu-alukan kedatangan Penasihat Pertahanan Nigeria dan mengucapkan tahniah di atas perlantikan beliau. Kunjungan hormat tersebut juga memberikan ruang untuk mengeratkan silaturahim dan hubungan ketenteraan di antara kedua buah negara.
Kedua belah pihak menyatakan harapan untuk terus menerokai bidang-bidang kerjasama pertahanan yang boleh diperkembangkan di masa akan datang.
Penasihat Pertahanan Nigeria juga memaklumkan bahawa seramai 23 anggota dari Maktab Turus Pertahanan Nasional Nigeria akan membuat lawatan sambil belajar ke Negara Brunei Darussalam bermula pada 19 Mei hingga 26 Mei 2018.