BERAKAS GARISON, Isnin 14 Mei 2018 – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima Kunjungan Pengenalan dari Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral Goh Si Hou, Ketua Turus Tentera Darat Angkatan Bersenjata Republik Singapura bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison.

Sebaik tiba di Markas TDDB, Tuan Yang Terutama disambut oleh Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB dan seterusnya menerima tabik hormat serta diikuti dengan memeriksa Kawalan separuh terdiri daripada anggota-anggota Batalion Ketiga TDDB (3Bn TDDB), rombongan Panji-Panji 3Bn dan Platun Serunai dan Tambur 3Bn. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, KS TDDB, Pegawai-pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai TDDB.

Selesai memeriksa perbarisan, Tuan Yang Terutama seterusnya membuat Kunjungan Hormat kepada Pemerintah TDDB. Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak mengesahkan kesinambungan hubungan kuat antara institusi pertahanan dan ketenteraan dalam bidang latihan, kursus, interaksi dan pertukaran profesional dan juga eksesais dua hala.

Brigedier Jeneral Goh Si Hou, seterusnya membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan diikuti dengan kunjungan hormat kepada Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Lawatan tersebut yang bermula pada 13 hingga 14 Mei 2018 adalah merupakan lawatan balas kepada Pemerintah TDDB yang telah membuat kunjungan pengenalan ke Republik Singapura pada 09 hingga 11 April 2018. Lawatan ini secara langsung juga mengeratkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua angkatan tentera yang sudah lama terjalin sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada Januari 1984.