BERAKAS GARISON, Rabu 26 Mac 2018– Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima Kunjungan Pengenalan dari Tuan Yang Terutama Jeneral Qamar Javed Bajwa,
Chief of the Army Staff, Pakistan Army, bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison.

Sejurus tiba, Tuan Yang Terutama menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Ketiga TDDB. Selesai memeriksa perbarisan, Tuan Yang Terutama seterusnya membuat Kunjungan Hormat kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Hj Lampoh, Pemerintah TDDB.

Lawatan tersebut yang bermula pada 25 hingga 27 Mac 2018 adalah merupakan lawatan pengenalan Tuan Yang Terutama selaku Ketua Staf Tentera Darat Pakistan sejak November 2016. Lawatan ini secara langsung juga mengeratkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua angkatan tentera yang sudah lama terjalin.

Semasa kunjungan hormat, Tuan Yang Terutama mengucapkan tahniah kepada Pemerintah TDDB di atas kenaikan pangkat dan perlantikan jawatan baru. Kedua belah pihak juga turut menyuarakan rasa puas hati atas hubungan yang baik dan mesra di antara kedua buah negara itu dan juga berbincang mengenai peluang-peluang kerjasama yang boleh dipertingkatkan lagi khususnya dalam bidang pertahanan.