BERAKAS GARISON, Selasa 04 September 2018– Pemangku Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB),Yang Mulia Kolonel Haji Damit bin Haji Bakar, hari ini telah menerima Kunjungan Hormat daripada Yang Mulia Ketua Pegawai Waran Teo See Keong, Sarjan Mejar Tentera Darat Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS).

Kunjungan Hormat ini adalah bertujuan untuk membincangkan mengenai dengan hubungan dan kerjasama pertahanan dua hala. Kedua belah pihak juga mengakui hubungan akrab pertahanan yang sudah lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura melalui lawatan, kursus dan latihan ketenteraan dan berharap kerjasama berterusan dapat diwujudkan antara TDDB dan Tentera Darat ABRS.

TDDB pada masa ini menjadi tuan rumah bagi mengendalikan Program Pertukaran Waran Kanan (SWEP) kali ke-8 yang bermula pada 04 September 2018 hingga 07 September 2018. Tujuan program ini dijalankan untuk meningkatkan lagi hubungan pertahanan dan persefahaman di antara kedua Tentera dan disamping itu juga berkongsi maklumat dalam ketenteraan dan pengetahuan am serta bertukar pengalaman mengenai profesi masing-masing.

Program dikendalikan secara bergilir-gilir sejak tahun 2005 dan ianya diadakan  setahun sekali yangmana terakhir diadakan pada 31 Julai hingga 04 Ogos 2017 di Singapura.