BERAKAS GARISON, Isnin 30 April 2018 – Tuan Yang Terutama Cho Won Myung, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam telah membuat kunjungan hormat kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison.

Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan isu-isu yang berhubung kait dengan pertahanan dua hala dan hubungan kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua negara. Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah menjalinkan hubungan diplomatik dua hala bermula pada 01 Jun 1984. Kedua-dua belah pihak juga  menekankan kepentingan untuk mempertingkatkan hubungan pertahanan dan ketenteraan kedua-dua negara yang mana telah dipupuk melalui pertukaran lawatan, kursus, latihan, perolehan kelengkapan ketenteraan serta interaksi di antara pemimpin dari kedua belah pihak.

Tuan Yang Terutama juga berkesempatan mengucapkan tahniah kepada Yang Mulia Pemerintah TDDB di atas kenaikan pangkat dan lantikan jawatan baru sebagai Pemerintah TDDB.