BERAKAS GARISON, Jumaat 28 September 2018 – Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima Kunjungan Hormat dari Yang Mulia Brigedier Stephen C. McMahon CBE, Ketua Dasar Antarabangsa dan Perancangan (Asia), Kementerian Pertahanan,
United Kingdom bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison.

Semasa kunjungan hormat, Pemerintah TDDB menyampaikan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang berterusan di antara TDDB dan
British Armed Forces secara amnya dan kedua belah pihak juga memberikan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan di antara kedua buah negara di masa akan datang melalui interaksi-interaksi seperti penganjuran Eksesais Setia Kawan III dan
Regional Jungle Warfare Symposium.  

Brigedier McMahon berada di Negara Brunei Darussalam selaku ketua rombongan untuk menghadiri Mesyuarat Bersama Suruhanjaya Pertahanan (Joint Defence Commission) yang ke-15 yang telah berlangsung pada 27 September 2018.