PANGKALAN TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI, Isnin 06 November 2017– Kontinjen Pasukan Penembak Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang terdiri daripada 55 orang anggota diketuai oleh Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan berlepas ke Singapura bagi mengikuti ASEAN Armies Rifle Meets yang ke-27 (27th AARM).

Hadir Selaku Tetamu Kehormat di Pusat Pergerakan Udara (AMC), Pangkalan TUDB ialah Ketua Staf TDDB, Yang Mulia Leftenan Kolonel Mohd Khairil bin Haji Ismail. Turut hadir juga ialah Pegawai-Pegawai Markas TDDB, Timbalan-Timbalan Pegawai/Pegawai Gerakan Unit-Unit TDDB, PTB-PTB Kanan dan ahli keluarga Pasukan Penembak TDDB.

Perlawanan menembak ini merupakan perlawanan kemahiran menembak diantara tentera-tentera darat ASEAN. Diharap perlawanan ini akan dapat mendedahkan kebolehan penembak-penembak TDDB dengan penembak-penembak lain.

Kontingen daripada Negara Brunei Darussalam pada tahun ini terlibat dalam beberapa acara perlawanan menembak seperti acara menembak menggunakan senjata Carbine, Pistol, Rifle dan General Purpose Machine Gun (GPMG).

Tetamu Kehormat juga melahirkan harapan agar Pasukan Penembak TDDB akan dapat mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi sebagai sebuah pasukan yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Pada masa yang sama sentiasa menjaga disiplin, kerjasama serantau serta mempamerkan sikap profesionalisme yang tinggi disepanjang perlawanan tersebut.