PANGKALAN TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI, Ahad 21 April 2018 – Kontingen Pasukan Penembak Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang terdiri daripada 14 orang anggota diketuai oleh Yang Mulia Mejar Haji Mohammad bin Haji Ahmad berlepas ke Australia bagi mengikuti
AUSTRALIAN ARMY SKILLS AT ARMS MEET (AASAM) bagi tahun 2018.
Hadir Selaku Tetamu Kehormat di Pusat Pergerakan Udara (AMC), Pangkalan TUDB ialah Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga, Yang Mulia Leftenan Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim.Turut hadir juga ialah Penolong Ketua Staf Latihan TDDB dan ahli keluarga Pasukan Penembak TDDB.
Perlawanan menembak ini merupakan perlawanan kemahiran menembak tahunan di antara tentera-tentera darat yang terdiri daripada negara ASEAN dan beberapa negara antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, China, Jepun dan Korea Selatan.
Diharap perlawanan ini akan dapat mendedahkan kebolehan penembak-penembak TDDB dengan penembak-penembak lain. Kontingen daripada Negara Brunei Darussalam pada tahun ini terlibat dalam beberapa acara perlawanan menembak seperti acara menembak Pistol, Rifle dan General Purpose Machine Gun (GPMG).
Tetamu Kehormat juga melahirkan harapan agar Pasukan Penembak TDDB akan dapat mengekalkan dan mempertingkatkan prestasi sebagai sebuah pasukan yang berdaya saing diperingkat antarabangsa. Pada masa yang sama sentiasa menjaga disiplin, kerjasama serantau serta mempamerkan sikap profesionalisme yang tinggi disepanjang perlawanan tersebut.

