Selasa, 15 Mei 2018 -. Sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan pada tahun ini, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mengadakan Kempen Membersihkan Kawasan Masjid secara serentak di keempat-empat Daerah.
Di antara kawasan masjid-masjid tersebut ialah Masjid Kampung Perpindahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri, Masjid Kampung Lambak dan Masjid Kampung Burong Pingai Berakas di Daerah Brunei dan Muara. Manakala di Daerah Tutong pula ialah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Kampung Penanjong, Masjid Pekan Seria bagi Daerah Kuala Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar bagi Daerah Temburong.
Kempen ini merupakan Aktiviti Kemasyarakatan TDDB dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba. Kempen tersebut bertujuan untuk menyemai dan menanamkan sikap bergotong-royong dan sikap suka menjaga kebersihan, yang sememangnya digalakkan dalam Islam. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan warga TDDB serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang kepada masyarakat.



