PERKHEMAHAN LUMUT, Jumaat 19 Januari 2018 – Pasukan Polo Air RPK muncul sebagai juara setelah menewaskan pasukan TDDB dengan jaringan 4-0 di Kejohanan Renang dan Polo Air Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 2018 di Kompleks Sukan, Perkhemahan Lumut petang tadi.

Manakala di Kejohanan Renang, Pasukan Renang RPK meraih kejohanan yang dipertandingkan awal minggu ini dengan memperolehi sebanyak 8 pingat emas, 6 pingat perak dan Pasukan renang TDDB mendapat tempat kedua dan pasukan renang TLDB mendapat tempat ketiga.

Acara terakhir menyaksikan acara renang 4 x 50 meter gabungan khas bagi Pegawai-pegawai dan Pegawai Tidak Bertauliah Kanan menyaksikan pasukan RPK muncul sebagai johan, diikuti dengan pasukan TDDB di tempat kedua dan pasukan TLDB di tempat ketiga.

Hadiah-hadiah disampaikan kepada pemenang-pemenang oleh Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pemerintah ABDB selaku tetamu kehormat.