PERKHEMAHAN LUMUT, Jumaat, 16 Februari 2018 - Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei menerima kunjungan daripada Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Yang Mulia Brigadier Jeneral Awang Khairul Hamid bin Awang Haji Lampoh. Ketibaan Yang Mulia Pemerintah TDDB disambut oleh Pegawai Pemerintah 3Bn TDDB, Lt Kol Erwan bin Haji Ibrahim,  Penolong Pegawai Pemerintah 3Bn TDDB, Pegawai-pegawai dan Sarjan Mejar Rejimen 3Bn TDDB di bangunan Serunai dan Tambor, Kompeni Memerintah, 3Bn TDDB.

Tujuan utama kunjungan YM Pem TDDB adalah untuk berinteraksi dengan kesemua pucuk kepimpinan (leaders) serta menyampaikan tentang kepentingan pemimpin untuk menjalankan tugas dengan betul, tulus dan bertanggung jawab dalam membuat sebarang keputusan serta tidak cuai dan membuat jalan pintas (short cut) dalam kerja harian. 

Setiap pemimpin hendaklah mengamalkan prinsip back to basic dalam menjalankan tugas berpandukan kepada Hukuman Tetap dan hendaklah mengetahui dan menjaga kebajikan setiap anggota yang dipimpin.

YM Pem TDDB juga memperingatkan setiap pemimpin untuk menyeru Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan, untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir dan Negara Melayu Islam Beraja dengan menanamkan kerohanian disetiap anggota yang dipimpin dengan mengamalkan bacaan Ayat Suci Al Quran, Surah Yassin dan Ratib Al Attas. 

Interaksi seperti ini adalah diantara usaha untuk memperbaiki unit dan kebajikan anggota TDDB.