BERAKAS KEM, Khamis 11 Jan 2018 – Hari Belajar Tentera Darat Diraja Brunei telah dilaksanakan oleh 1Bn TDDB bertempat di Mes Pegawai Berakas Garison.
Untuk sesi Hari Belajar kali ini, 1Bn TDDB telah memilih Fasa Advance(Mara) dalam Latihan Taktikal Tanpa Terup (LTTT) siri kali ini. Pembelajaran kali ini bertujuan untuk mendedahkan pegawai – pegawai untuk meningkatkan tahap kemahiran serta pemikiran dalam menilai keadaan dalam operasi ketenteraan melalui kaedah Military Appreciation Process(MAP). Hari Belajar LTTT adalah inisiatif TDDB sebagai pendedahan awal kepada Pegawai – Pegawai muda sebelum menjalani kursus – kursus karier semasa dalam perkhidmatan khususnya unit Infantri. Hari Belajar telah diadakan selama 4 hari berturut-turut bermula pada hari Isnin, 8 Januari 2018 dan berakhir hari Khamis, 11 Januari 2018.
Hadir sebagai tetamu kehormat semasa Majlis Penutup ialah Yang Mulia Kolonel Haji Muhammad Haszaimi Bin Bol Hassan, Timbalan Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Kolonel Khairil Bin Ismail, Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei, Pegawai Pemerintah Batalion, Pegawai – Pegawai Kanan dan Pegawai – Pegawai Tentera Darat Diraja Brunei.
Timbalan Pemerintah TDDB dalam ucapannya menekankan pentingnya memahami Military Appreciation Process (MAP) sebagai kaedah penting dalam menghasilkan pelan rancangan sebelum operasi sebenar dijalankan. Beliau juga mengingatkan bahawa pegawai TDDB harus memahami dan dapat menganalisa keadaan berpandukan kepada fakta dan keadaan demi menghasilkan pelan operasi yang mapan dengan mengambil kira semua keperluan pengurusan sumber yang tersedia dalam sebuah operasi. Siri LTTT yang akan datang akan dihoskan oleh Khidmat Bantuan Kombat TDDB dalam beberapa bulan yang akan datang.
