|
TENTERA DARAT DIRAJA BRUNEI SERTAI MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA RAKYAT DI DAERAH TEMBURONG
TEMBURONG, Khamis, 27 Julai 2023 – Kompeni E, Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dengan penuh sukacita dan berbangga bersama rakyat dan penduduk Daerah Temburong menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun. Majlis tersebut telah berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Temburong yang mana pegawai-pegawai dan anggota Komp E, 1Bn TDDB menyertai acara junjung ziarah tersebut.
Sambutan dimulakan dengan Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan diikuti dengan beberapa persembahan daripada masyarakat, penuntut-penuntut dan majlis belia Daerah Temburong. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian dijunjung berangkat bagi melawat khemah-khemah yang terdiri daripada Komp E, 1Bn TDDB, warga emas, puak-puak jati dan dan penduduk-penduduk Daerah Temburong.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke khemah Komp E, 1Bn TDDB disambut mesra oleh Mejar Mohammad Za’im bin Haji Zainal Arifin, Pegawai Memerintah Komp E,1Bn TDDB. Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia beserta Kerabat Diraja dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong.
Bagi Negara Brunei Darussalam, Sultan melambangkan Payung Negara iaitu tempat berlindung seluruh rakyat dan penduduk yang mencerminkan keharmonian, perpaduan dan keamanan negara.

