BUKIT AGOK, Khamis 20 September 2018 – Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) telah melaksanakan Hari Belajar di Mes Pegawai Berakas Garison dan Bukit Agok. Hari Belajar ini telah diadakan selama dua hari iaitu bermula pada 19 September 2018 dan berakhir pada 20 September 2018.
Latihan Taktikal Tanpa Terup (LTTT) yang telah dilaksanakan pada Fasa Defence (Pertahanan) itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran serta pemikiran dalam menilai keadaan dalam operasi ketenteraan melalui kaedah
Military Appreciation Process (MAP). Hari Belajar LTTT ini juga adalah inisiatif TDDB sebagai pendedahan awal kepada pegawai-pegawai muda sebelum menjalani kursus-kursus karier semasa dalam perkhidmatan khususnya unit Infantri. LTTT ini juga adalah pada julung kali disertai oleh empat orang pegawai dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) serta seorang pegawai dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
Hadir selaku tetamu kehormat Majlis Penutup ialah Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Kolonel Khairil Bin Ismail, Pemangku Timbalan Pemerintah TDDB, Pegawai-Pegawai Pemerintah Batalion, Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai TDDB.


