SUNGAI TUJUH, Isnin 17 September 2018
– Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengadakan Acara Berbasikal Muhibbah pada 17 hingga 18 September 2018. Acara ini adalah sebahagian daripada program Ekspedisi Borneo Siri 02/2018 yang dikendalikan oleh Tentera Darat Malaysia. 

Acara berbasikal dengan jarak laluan sejauh 103 km itu dibahagikan kepada dua fasa dimana fasa pertama bermula daripada Sungai Tujoh, Kuala Belait dan berakhir di Pos Imigresen Kuala Lurah pada hari Isnin, 17 September 2018. Dalam fasa ini penyerahan bendera serta cenderahati daripada Yang Mulia Leftenan Kolonel Rokaib bin Ahmad, Pegawai Pemerintah Batalion Ke-Tujuh Rejimen Sempadan, TDM kepada Yang Mulia Leftenen Kolonel Alirudimi bin Haji Perudin, Ketua Doktrin, TDDB telah dilaksanakan. Manakala, Fasa Kedua akan bermula di Pos Imigresen Puni dan berakhir di Pos Imigresen Labu pada hari Selasa, 18 September 2018. 

Acara ini bertujuan untuk menjadikan sukan berbasikal sebagai sukan alternatif dan memberikan sokongan dan dokongan kepada konsep gaya hidup sihat dikalangan warga TDDB dan TDM. Ianya juga bertujuan untuk 
mengeratkan silatulrahim diantara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta memberikan anggota- anggota tentera pengalaman dalam menunggang basikal di pelbagai tempat.