BERAKAS GARISON, Isnin 27 Ogos 2018 - Sesi perjumpaan Yang Mulia Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bersama anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) bersama-sama Batalion Malaysia 850-6 (MALBAT 850-6) telah diadakan di Bilik Teater Markas TDDB, Berakas Garison.

Semasa sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB menekankan kepada semua anggota-anggota tersebut untuk sentiasa bersikap profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa membuat apa jua penugasan yang diberikan. Dalam pada itu, beliau juga menekankan agar setiap anggota sentiasa menjaga disiplin dengan menjauhi segala gejala sosial terutama sekali penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, pergaulan bebas dan apa jua perkara yang menyalahi undang-undang tentera, negara dan agama.

Selain daripada itu, perkara mengenai kebajikan setiap anggota juga turut disentuh oleh Yang Mulia Pemerintah TDDB yang mana ianya adalah hak individu dan perlu diambil kira oleh mereka yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan segala permasalahan terutamanya masalah peribadi dapat ditangani dengan lebih berkesan. Perjumpaan tersebut diakhiri dengan sesi soal-jawab bersama anggota-anggota yang akan menyertai misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).