BERAKAS GARISON, Selasa 31 Julai 2018– Kejohanan Rentas Desa Askar Wanita peringkat Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bagi tahun 2018 telah diadakan di Berakas Garison. Lebih daripada 50 Askar Wanita TDDB telah mengikuti kejohanan tersebut.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada kejohanan tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Dr Haslina binti Junaidi. Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai, PTB-PTB Kanan dan Rendah Askar Wanita TDDB.
Kejohanan Rentas Desa tersebut telah mempertandingkan acara berkumpulan dan juga acara terbuka mengikut kategori umur yang mana peserta dikehendaki belari sejauh 8 km. Ianya bertujuan untuk mencari bakat baru serta memilih anggota bagi mewakili TDDB di peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan dilaksanakan pada bulan Ogos nanti. Kejohanan tersebut bermula dan berakhir di Dewan Gerak Badan Batalion Pertama TDDB, Berakas Garison.
Manakala Khidmat Bantuan Kombat (KBK) TDDB juga turut mengadakan Kejohanan Rentas Desa bagi Peringkat KBK TDDB yang telah berlangsung pada 25 Julai 2018 yang lalu. Kejohanan tersebut telah mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori berpasukan, kategori terbuka bagi anggota berumur 39 tahun kebawah dan 40 tahun ke atas dengan larian sejauh 10 km. Kejohanan tersebut juga bermula dan berakhir di Dewan Gerak Badan Batalion Pertama TDDB, Berakas Garison.
Hadir bagi penyampaian hadiah ialah Yang Mulia Kolonel Dr Awang Mohammad Hafizul bin Awang Mohammad Hasan, Pemangku Komandan KBK TDDB.






