BERAKAS GARISON, Isnin 09 Julai 2018 – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Hj Lampoh hari ini telah menerima Kunjungan Kerja daripada Duta Besar dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari bertempat di Markas TDDB.
Kunjungan kerja ini adalah bertujuan untuk membincangkan mengenai dengan kerjasama pertahanan dua hala dan kedua-dua pihak juga turut menyampaikan hasrat untuk terus mengukuhkan lagi jalinan persahabatan yang erat di antara kedua-dua Angkatan Tentera yang telah sekian lama terjalin. Turut dibincangkan ialah mengenai kerjasama teknikal perbekalan alat ganti kenderaan CVRT, latihan serta kursus ketenteraan.
Tuan Yang Terutama juga berasa amat gembira atas hubungan komitmen yang kukuh lagi berpanjangan di antara Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman. Hubungan diplomatik kedua-dua buah negara ditubuhkan pada 24 Mac 1984 dan hubungan kerjasama dalam bidang pertahanan merupakan salah satu dimensi bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman selain kerjasama dalam bidang tenaga, minyak dan gas.