BERAKAS GARISON, Isnin, 11 Jun 2018 – Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Ulangtahun (HUT) Khidmat Pergigian, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei (KBK TDDB) yang ke-46 tahun telah berlangsung di Pusat Khidmat Pergigian Berakas, Berakas Garison.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Kolonel (Dr) Jefri bin Haji Abdul Razak, Ketua Pegawai Pergigian, KBK TDDB. Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan, PTB-PTB Kanan, PTB-PTB Rendah dan juga kakitangan awam Khidmat Pergigian yang lain.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Yang Mulia Sld Ak Md Kamarulzaman bin Pg Azmi diikuti dengan Solat Fardhu Zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Ustaz Mohammad Sabri bin Hj Makhbar, Guru Ugama Surau Al-Fai’zun Berakas Garison. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Surah Yassin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran Khas.
Sempena HUT Khidmat Pergigian ke-46 tahun, majlis terus diraikan dengan ucapan yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat majlis. Semasa ucapan tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada anggota-anggota Khidmat Pergigian yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara di atas sumbangan serta khidmat bakti kepada Khidmat Pergigian KBK TDDB disepanjang 46 tahun penubuhannya.
Beliau juga sukacita memaklumkan bahawa dalam melaksanakan misi Khidmat Pergigian iaitu untuk Memberi Khidmat Pergigian yang berkesan dan memastikan kesihatan pergigian warga ABDB untuk kesiapsiagaan perang, warga Khidmat Pergigian telah berjaya mencapai 82 peratus
Dental Fitness bagi seluruh anggota ABDB pada awal tahun 2018, iaitu pencapaian yang tertinggi dalam sejarah 20 tahun statistik yang dirakamkan. Pada masa ini seramai tujuh (7) Pegawai Doktor Pergigian anak tempatan manakala tiga (3) lagi bakal Doktor Pergigian tempatan sedang menjalani pengajian diluar negeri dibawah Skim Dermasiswa Pemerintah Tertinggi ABDB. Tetamu Kehormat juga menyampaikan penghargaan kepada Yang Mulia Mejar Mohd Azhan bin Ahmad, Pegawai Tadbir Pergigian yang buat pertama kalinya diberi penghormatan bagi mewakili ABDB dalam Misi Pengamanan UNIFIL ke Lebanon sebagai Ketua Kontinjen selama setahun pada tahun 2017.
Semasa majlis tersebut, Tetamu Kehormat juga berkesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada LS 2173 Mejar James Scott, Pegawai Pergigian Lumut, yang akan kembali ke United Kingdom selepas dua tahun menyumbangkan bakti dan berkhidmat didalam ABDB. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan dan sesi bergambar ramai.

