KAMPONG BENUTAN, Isnin 04 Jun 2018 – Batalion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei (2Bn TDDB) telah memberikan bantuan bencana alam di Kg. Benutan, Daerah Tutong. Hujan yang turun secara berterusan disepanjang minggu lepas telah menyebabkan kenaikan paras air yang melimpahi dibeberapa kawasan kediaman dan menjejaskan sebahagian jalan raya yang menjadi laluan utama di kampong berkenaan.

Dalam menangani kejadian banjir tersebut, seramai 20 anggota dari 2Bn TDDB, Perkhemahan Tutong, telah dikerahkan untuk memberi bantuan ke kawasan yang terjejas. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk kemudahan pengangkutan kenderaan darat menggunakan kenderaan 4 Tan bagi memindahkan penduduk-penduduk yang terkandas akibat jalan yang ditenggelami air.

Memandangkan cuaca pada masa ini dalam keadaan tidak menentu, TDDB akan terus bersiap sedia untuk memberikan bantuan bencana alam di kesemua empat-empat Daerah jika sekiranya kejadian seumpama ini berlaku lagi di masa akan datang dan akan terus bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta agensi – agensi dibawahnya dalam memberikan bantuan kepada orang awam yang terjejas.