BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 Mei 2018 – Bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) ke-57 tahun dan sempena bulan Ramadan 1439 Hijrah yang penuh keberkatan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) hari ini telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yassin, Bertahlil dan Doa Arwah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

Majlis dihadiri oleh Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh. Majlis juga dihadiri oleh Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai dan warga TDDB.

Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Mas Ismandi bin Hassan, Guru Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Majlis tersebut merupakan aktiviti keagamaan tahunan TDDB sebelum menjelangnya sambutan HUT ABDB pada 31 Mei dan bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mubarak selain menjadi landasan dalam meningkatkan amalan ibadah serta menjalinkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan warga TDDB yang lainnya.