PUCKAPUNYAL, AUSTRALIA Khamis, 10 Mei 2018 – Kejohanan menembak Australian Army Skill At Arms Meet (AASAM) kali ke-12 telah dihoskan oleh Tentera Darat Australia bermula pada 16 April 2018 hingga 10 Mei 2018 bertempat di Combined Arms Training Centre (CATC), Kem Puckapunyal. Seramai 18 buah negara telah menyertai kejohanan tersebut.
Pasukan penembak Tentera Darat Diraja Brunei yang terdiri daripada 14 anggota telah menyertai tiga kategori perlawanan iaitu General-Purpose Machine Gun (GPMG), Pistol dan juga Rifle yang mana sebanyak 03 pingat telah berjaya diraih secara keseluruhan.
Yang Mulia Lans Korporal Mohd Erwan bin Mohd Hilmi telah mengutip pingat perak bagi perlawanan 41 GPMG, manakala perlawanan Pistol 35 berjaya meraih pingat gangsa oleh Yang Mulia Lans Korporal Eddy Kasuma bin Awg Omar. Penembak terbaik bagi Pasukan TDDB telah diberikan kepada Yang Mulia Korporal Md Noor bin Hj Nordin.
Acara penyampaian hadiah tersebut telah disampaikan oleh Brigedier Jeneral Simon Welsh, AM, Director General Integrated Soldier Systems Branch.
Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) muncul juara secara keseluruhan bagi AASAM kali ke-12 dan naib juara dimenangi oleh Tentera Darat Australia manakala tempat ketiga dari Tentera Darat Jepun.
AASAM merupakan acara kejohanan menembak tahunan yang dikendalikan oleh Tentera Darat Australia. Ianya dihasratkan untuk memberi peluang kepada para penembak tentera darat antarabangsa untuk mempamerkan kemahiran, kemampuan dan keupayaan masing-masing. Malah kejohanan itu juga merupakan sebuah pertemuan bagi para penembak meraih kemenangan dalam suasana perlawanan yang sihat, selain sebagai salah satu landasan bagi setiap kontinjen mengukuhkan tali persahabatan dan persefahaman yang sudah sedia terjalin.
