TUTONG, Juma’at, 11 Mei 2018 – Anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) yang terdiri daripada Pegawai-pegawai serta anggota dari Markas TDDB telah mengadakan kempen membersihkan tanah perkuburan di Kampung Kupang, Tutong. Turut serta semasa kempen tersebut ialah penduduk-penduduk Kampung Kupang.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Yassin dan Tahlil beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan Doa Arwah yang dibacakan oleh Yang Mulia Kapten Hj Md Alihassan bin Hj Japar. Ianya disusuli dengan membersihkan kubur secara bergotong-royong.

Kempen ini merupakan aktiviti tahunan TDDB sempena menjelangnya bulan Ramadhan tidak lama lagi. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan lagi pembangunan kerohanian dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan anggota TDDB serta memupuk keinginan untuk berbakti dan menyumbang kepada masyarakat. Baru baru ini aktiviti yang sama telah dilaksanakan pada 02 Mei 2018 bertempat di Perkuburan Kampong Subok.