PENANJONG GARISON, Selasa 17 April 2018
– Dengan meningkatnya ancaman serangan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan, sama ada dari segi senjata mahupun sumbernya, kesedaran mengenai pencegahan dan tindak balas perlu ditingkatkan selaras dengan kejadian yang berlaku di negara luar pada masa ini. Demi keselamatan negara untuk sentiasa aman dan damai, kesedaran tersebut perlu dikongsikan bukan hanya tertumpu pada satu agensi sahaja malah seluruh agensi keselamatan.

Seramai 27 anggota Polis Diraja Brunei yang terdiri daripada 21 peserta Kursus Asas Bahagian Pengiring dan Pengawal Polis Kawalan Diraja dan 6 Jurulatih telah membuat lawatan sambil belajar ke Unit Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan (KBRL) Batalion Bantu Tentera Darat Diraja Brunei (Bn Bantu TDDB).

Adapun tujuan lawatan sambil belajar itu ialah untuk memberi pendedahan dan mengkongsikan maklumat mengenai tugas dan peranan Unit Pertahanan KBRL Bn Bantu TDDB disamping meraih ilmu pengetahuan daripada taklimat kesedaran yang disampaikan. Ianya juga merupakan salah satu inisiatif  dalam memberikan pengenalan kepada kesedaran yang perlu ditekankan kepada setiap agensi keselamatan.

Lawatan tersebut dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Pegawai Pengendali, Yang Mulia Lt Nur Shazeerah binti Radinkanoro dan diteruskan dengan taklimat pelajaran. Semasa taklimat pelajaran, peserta kursus telah didedahkan dengan beberapa taklimat yang boleh dijadikan sebagai asas sebagai seorang pengiring dan pengawal seperti pengenalan geledah, geledah badan, geledah kenderaan dan pengenalan kepada
Improvised Explosive Device (IED).  Lawatan tersebut diakhiri dengan kata-kata penghargaan dan sesi bergambar ramai.