PENANJONG GARISON, Rabu 28 Mac 2018 – Seramai 58 orang awam terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir, Guru-Guru Muslimah, Belia – Beliawanis Masjid Lambak Berakas yang diketuai oleh Yang Mulia Imam Hj Mohd Ashraf bin Hj Bujang telah membuat lawatan ke Batalion Bantu TDDB.

Rombongan lawatan tersebut telah disambut dengan ucapan kata-kata aluan di Rumah Masak Batalion Bantu TDDB oleh Pemangku Pegawai Memerintah Skuadron Jurutera Tempur (SJT) iaitu Kapt Rafie bin Hj Abd Wahid. Taklimat aturcara dan lawatan pula telah disampaikan oleh Pegawai Pengendali lawatan tersebut iaitu Lt Susie binti Riden. Selesai takimat, rombongan dibawa ke unit Skuadron Kereta Perisai Peninjau (SKPP) bagi melihat pameran statik daripada unit-unit yang terdapat di Batalion Bantu TDDB seperti kenderaan berperisai SKPP, jentera berat SJT serta alat kelengkapan dan peralatan KBRL.

Adapun disepanjang lawatan tersebut dijalankan, taklimat serta penerangan yang dilaksanakan banyak mengambarkan konsep ringkas mengenai asas operasi dan latihan yang dilaksanakan oleh Batalion Bantu TDDB secara amnya di waktu aman mahupun darurat. Lawatan diakhiri dengan bergambar ramai di tempat pameran dan seterusnya menikmati jamuan di Rumah Masak Batalion Bantu TDDB.