BERAKAS GARISON, Isnin 26 Mac 2018 - Delegasi daripada Tentera Darat Pakistan yang diketuai oleh Yang Mulia Tuan Yang Terutama Jeneral Qamar Javed Bajwa,
Chief of Army Staff, Pakistan Army, selaku Tetamu Kehormat berada di negara ini bagi kunjungan pengenalan yang berlangsung pada hari ahad 25 hingga 27 Mac 2018.

Bagi mengalu-alukan delegasi tersebut, Majlis Makan Malam telah diadakan di Mes Pegawai, Berakas Garison yang dihoskan oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai-Pegawai dari TDDB dan Tentera Darat Pakistan.

Di antara aturcara semasa majlis makan malam tersebut ialah pemberian cenderahati kenangan daripada Yang Mulia Pemerintah TDDB kepada Yang Mulia Tuan Yang Terutama Jeneral Qamar Javed Bajwa dan delegasi-delegasi daripada Tentera Darat Pakistan. Kedua belah pihak juga berkesempatan untuk membincangkan mengenai dengan kerjasama serta program ketenteraan dua hala.

Kedua-dua Pemerintah Tentera Darat juga saling merakamkan penghargaan di atas hubungan rapat yang semakin akrab dan bersetuju untuk memberikan komitmen mereka dalam meneruskan serta meningkatkan lagi hubungan pertahanan yang sudah lama terjalin melalui pelbagai landasan ketenteraan.