KAMPONG JERUDONG, Jumaat 16 Mac 2018 - Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menjuarai perlawanan Perlawanan Merintis Tahunan peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), diikuti oleh Rejimen Pasukan Khas (RPK) di tempat kedua dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) di tempat ketiga. Perlawanan merintis tahun ini bagi ABDB telah diadakan bertempat di Kompleks Sukan Jerudong dan kawasan meliputi kampong Sengkurong ‘B’.

Perlawanan Merintis tersebut merupakan perlawanan tahunan yang bertujuan untuk menguji anggota ABDB dalam mencari check point pada masa yang ditetapkan dengan menggunakan kemahiran membaca peta. Ianya juga bertujuan untuk menguji stamina, fizikal dan mental anggota ABDB.

Turut hadir menyaksikan pertandingan ini ialah Pemerintah ABDB, Yang Mulia Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Hj Mahmud, selaku Tetamu Kehormat, Pemerintah-Pemerintah Tentera, Komandan Institut Latihan ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan ABDB dan anggota-anggota ABDB.

Sebanyak 06 pasukan telah ikut bertanding iaitu TDDB, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan ABDB (IL ABDB), KEMENTAH dan RPK.  Seramai 37 pegawai dan 161 dari lain-lain peringkat telah turut serta dalam dua acara utama yang dipertandingkan, iaitu acara berpasukan dan acara individu.

Keputusan dari hasil perlawanan tersebut adalah seperti berikut:

Tempat Pertama: Tentera Darat Diraja Brunei, TDDB (3150 mata)

Tempat Kedua: Rejimen Pasukan Khas, RPK (3040 mata)

Tempat Ketiga: Kementerian Pertahanan, KEMENTAH (2805 mata)

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis dan perlawanan tersebut diakhiri dengan sesi bergambar ramai.