KAMPONG TELINGAN, Rabu 21 Februari 2018 –Yang Mulia Kolonel Khairil bin Haji Ismail, Ketua Staf Tentera Darat Diraja Brunei, selaku Tetamu Kehormat telah menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Infantri bagi lepasan Rekrut Pengambilan ke 160 yang telah berlangsung di Kg Telingan, Kawasan Labi. Turut hadir ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim, Pemerintah 3Bn TDDB. Pada tahun ini, Batalion Ketiga TDDB telah diamanahkan untuk mengendalikan kursus tersebut. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Lt Ak Muhd Masduqi bin Pg Haji Damit. Seramai 98 anggota telah berjaya mengikuti kursus dengan bantuan jurulatih-jurulatih daripada Batalion Pertama, Batalion Kedua dan Batalion Ketiga TDDB. Kursus ini dikendalikan selama 03 minggu iaitu bermula daripada 29 Januari 2018 hingga 21 Februari 2018 yang telah dikendalikan oleh Batalion Ketiga TDDB.
Penuntut Terbaik keseluruhan disandang oleh Sld Muhd Syafiq Hidayat bin Haji Rosli. Manakala Penuntut Terbaik Jasmani pula diraih oleh Sld Ak Nordinnie Ayasy @ Ak Hadi bin Pg Ibrahim. Penuntut terbaik dalam bahagian Teori diraih oleh Sld Abd Mu’izz bin Haji Mustapa. Penuntut Terbaik dalam bahagian Praktikal pula disandang oleh Sld Muh Asnawi bin Azmi. Majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup dan sesi bergambar ramai.




