BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 22 Februari 2018 – Latihan perbarisan sempena Hari Kebangsaan giat dijalankan bermula pada 01 Februari 2018. Latihan bermula di Padang Kawad 1Bn TDDB dan diikuti kemudian di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Penglibatan TDDB bagi perbarisan sempena Hari Kebangsaan yang ke 34 Tahun ini menyediakan Kawalan Kehormatan seramai 130 orang yang terdiri dari anggota-anggota 1Bn TDDB dan gabungan Pasukan Askar Wanita TDDB, manakala bagi Perbarisan berjalan lalu terdiri daripada Kontingen Pegawai-Pegawai, Kontingen Operasi Peperangan Bandar (Urban Operations) seramai 76 orang dan Kontingen Operasi Peperangan Hutan (Conventional) seramai 76 orang dari 2Bn TDDB, Kontingen Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Operations) seramai 80 orang juga terdiri dari anggota 2Bn TDDB. Juga turut serta bagi perbarisan ini Perkhidmatan Bomba dan Keselamatan, Perkhidmatan Perubatan, Perkhidmatan Pergigian dan Skuadron Semboyan, Khidmat Bantuan Kombat (KBK). 
Latihan padu serta kesungguhan anggota-anggota dalam latihan ini diharap akan dapat memberikan yang terbaik pada Sambutan Hari Kebangsaan pada 23 Februari 2018 nanti. Tema bagi Sambutan hari Kebangsaan pada tahun ini ialah ‘MENJAYAKAN WAWASAN NEGARA’.