PERKHEMAHAN LUMUT, Isnin 12 Februari 2018- Sesi perjumpaan anggota-anggota lepasan rekrut pengambilan ke-160 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) bersama Yang Mulia Brigedier Jeneral Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB telah diadakan di Auditorium, Platun Serunai dan Tambur. Seramai 98 anggota lepasan rekrut pengambilan ke-160 telah selesai menjalani Kursus Lanjutan Infantri selama sebulan yang dikendalikan oleh Batalion Ketiga TDDB (3Bn TDDB).
Ketibaan Yang Mulia Pemerintah TDDB disambut oleh Yang Mulia Leftenen Kolonel Erwan bin Haji Ibrahim, Pemerintah 3Bn TDDB. Turut hadir juga Pegawai Pengendali Kursus Lanjutan Infantri dan jurulatih-jurulatih kursus. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Sjn Harun dari Jama’at Batalion Ketiga dan seterusnya interaksi bersama Yang Mulia Pemerintah TDDB.
Adapun tujuan perjumpaan dibuat adalah bagi memberikan peluang kepada anggota-anggota kursus berinteraksi bersama Yang Mulia Pemerintah TDDB. Didalam sesi perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pemerintah TDDB menekankan kepada semua anggota-anggota kursus untuk sentiasa bersikap profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa membuat apa jua penugasan yang diberikan serta meningkatkan tahap profesionalisme anggota-anggota tentera darat yang baru. Dalam pada itu, beliau juga menekankan agar setiap anggota sentiasa menjaga disiplin dengan menjauhi segala gejala sosial terutama sekali penyalahgunaan dadah, meminum minuman keras, pergaulan bebas dan apa jua perkara yang menyalahi undang-undang tentera, negara dan agama. Ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta kursus sebelum masuk ke unit masing-masing. Selain daripada itu, perkara mengenai kebajikan setiap anggota juga turut disentuh oleh Yang Mulia Pemerintah TDDB yang mana ianya adalah hak individu dan perlu diambil kira oleh mereka yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan segala permasalahan terutamanya masalah peribadi dapat ditangani dengan lebih berkesan. Anggota-anggota kursus ini juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam aspek sekuriti khususnya dalam penggunaan sosial media serta laman-laman sesawang dengan tidak menyalahi prosedur tetap yang telah digariskan yang mana ianya adalah menjadi satu kesalahan di dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Majlis perjumpaan tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab dan di ikuti dengan bacaan doa yang dikepalai oleh Sjn Harun.



