KAMPONG DADAP, Juma’at 22 Disember 2017 – Perlawanan merintis bagi Peringkat Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) pada tahun ini telah diadakan di Kampong Dadap, Mukim Kilanas, Daerah Brunei dan Muara. Majlis tersebut adalah dianjurkan oleh Depoh Logistik, Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei.

Perlawanan Merintis tahunan bertujuan untuk menguji anggota TDDB dalam mencari check point dalam masa yang ditetapkan dengan menggunakan kemahiran membaca peta. Ianya juga bertujuan untuk menguji stamina, fizikal dan mental anggota TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat menyaksikan pertandingan ini adalah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pegawai-pegawai Kanan TDDB dan Anggota-anggota TDDB.

Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian terdiri daripada Pasukan Batalion Pertama TDDB, Batalion Kedua TDDB, Batalion Ketiga TDDB, Khidmat Bantuan Kombat TDDB dan Batalion Bantu TDDB. Perlawanan Merintis telah dibahagikan kepada 5 kategori iaitu satu kategori pasukan dan empat kategori terbuka yang lain. Kategori terbuka ialah: Acara terbuka perseorangan (40 tahun keatas), Acara terbuka perseorangan (35 tahun ke 39 tahun), Acara terbuka perseorangan (35 tahun – 39 tahun), Acara terbuka perseorangan (29 tahun kebawah).

Pasukan Batalion Kedua TDDB adalah juara bagi perlawanan merintis tahun ini. Tempat kedua ialah Pasukan Batalion Pertama TDDB. manakala Pasukan Batalion Ketiga TDDB menduduki tempat ketiga dalam acara itu. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat,Yang Mulia Pemerintah.