BERAKAS GARISON, Rabu 17 Januari 2018– Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud telah menerima Kunjungan Hormat daripada Yang Mulia Kolonel Andrew Cleveland, Atase Pertahanan Kanada ke Negara Brunei Darussalam.
Semasa kunjungan tersebut, Pemerintah TDDB menyatakan kegembiraan di atas hubungan pertahanan yang mesra dan aktif di antara Brunei Darussalam dan Kanada. Penglibatan aktif kedua-dua pihak adalah termasuk kegiatan-kegiatan di dalam pameran pertahanan, pertukaran lawatan, Eksesais-eksesais serta pengendalian mesyuarat dua hala.
Dalam Kunjungan Pengenalan ini kedua-dua pihak juga berkesempatan membincangkan dan mengkongsikan maklumat dan isu-isu yang berhubung kait dengan pertahanan dan hubungan kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak juga turut menyampaikan hasrat untuk terus mengukuhkan lagi jalinan persahabatan yang erat diantara Kedua-dua Angkatan Tentera yang telah sekian lama terjalin disamping membincangkan hala tuju kerjasama dibidang pertahanan. Ianya termasuk dari aspek menghadiri kursus dan menyediakan jurulatih untuk mengkongsi pengalaman dan menambah lagi pengetahuan latihan ketenteraan dua-hala.
