BERAKAS GARISON, Rabu 24 Januari 2018
– Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah menerima Kunjungan Pengenalan dari Tuan Yang Terutama Leftenan Jeneral Rolando Joselito Bautsista, Commanding General of the Philippine Army, bertempat di Markas TDDB, Berakas Garison.

Sejurus tiba, Tuan Yang Terutama menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Pertama TDDB. Selesai memeriksa perbarisan, Tuan Yang Terutama seterusnya membuat Kunjungan Hormat kepada Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah TDDB.

Semasa kunjungan pengenalan tersebut, Pemerintah TDDB mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Leftenan Jeneral Rolando Joselito D Bautsista di atas perlantikan beliau sebagai Commanding General of the Philippine Army yang baru bermula pada Oktober 2017. Pemerintah TDDB juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  Tentera Darat Republik Filipina di atas sokongan yang berterusan terhadap TDDB melalui pertukaran professional dan kursus.

Lawatan tersebut yang bermula pada 23 hingga 26 Januari 2018 adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin di antara kedua buah negara disamping membincangkan mengenai bidang-bidang yang boleh diterokai bagi mengukuhkan lagi kerjasama ketenteraan.