BERAKAS GARISON, Ahad 28 Januari 2018 – Hari Keluarga Peringkat Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TDDB yang ke 56 tahun telah berlangsung dengan meriahnya bertempat di Mini Stadium, Berakas Garison. Acara tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Kapten Alimin bin Haji Ahamad, Ejutan 1Bn TDDB.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Acara Hari Keluarga tersebut ialah Yang Mulia Leftenan Kolonel Aldi bin Haji Hassan, Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB serta keluarga. Turut hadir bagi menyerikan lagi acara ialah Timbalan Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB, Pegawai-Pegawai Memerintah Kompeni dan semua warga 1Bn TDDB serta keluarga masing-masing.

Acara dimulakan dengan sesi begambar ramai bersama semua warga 1Bn TDDB dan seterusnya Senamrobik ‘ZUMBA’ beramai-ramai yang dibawa oleh Jurulatih-Jurulatih Jasmani 1Bn TDDB. Acara diteruskan lagi dengan perlawanan tarik kalat diantara gabungan kompeni-kompeni 1Bn TDDB. Penyampaian cenderahati istimewa kepada keluarga anggota 1Bn TDDB yang telah dikurniakan anak pertama diantara tahun 2017 hingga tahun 2018 telah disempurnakan oleh Isteri Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB. Manakala Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB berkesudian bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang perlawanan tarik kalat gabungan kompeni.

Pegawai Pemerintah 1Bn TDDB bersama keluarga seterusnya berkunjung ke aktiviti-aktiviti permainan yang telah dikendalikan oleh setiap kompeni. Aktiviti permainan yang telah disediakan pada hari tersebut adalah berkonsepkan “Fun Fair” dan terbuka kepada semua yang berkunjung ke acara tersebut. Diantara jenis-jenis aktiviti permainan yang telah dikendalikan adalah seperti meneka benda dalam kotak misteri, membaling bola ke dalam bakul, menembak tin kosong dengan pistol Nerf, mengisi air di dalam botol mengunakan ‘Sponge’ dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga permainan-permainan lain juga telah disediakan seperti ATV Ride, Horse Ride, Bouncer, Bubble Wand Game serta Gerai-Gerai Jualan juga telah disediakan.

Adapun aktiviti ini adalah salah satu acara tahunan sempena menyambut HUT TDDB yang mana ianya bertujuan untuk memupuk keakraban sesama anggota serta memperkasa institusi kekeluargaan dan disamping itu juga memberi ruang kepada anggota-anggota untuk meluangkan masa beriadah bersama dengan keluarga.