BERAKAS GARISON, Rabu 31 Januari 2018– Dengan Titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mengalu-alukan pemimpin baru pada hari ini yangmana upacara Serah Terima Tugas telah disempurnakan oleh Mantan Pemerintah TDDB, Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud secara rasminya menyerahkan tampuk pimpinan Pemerintah TDDB kepada Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh, Pemerintah TDDB yang baru dalam satu peristiwa bersejarah pada 31 Januari 2018 berlangsung di Padang Kawad Berakas Garison.
Turut hadir di upacara tersebut ialah Timbalan Pemerintah TDDB, Ketua Staf TDDB, Pegawai-Pegawai Kanan, Pemerintah-Pemerintah Batalion, Pegawai-Pegawai, PTB-PTB Kanan dan PTB-PTB Rendah TDDB.
Sejurus tiba, Mantan Pemerintah TDDB menerima Tabik Hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri dari anggota-anggota 1Bn, 2Bn, 3Bn, Bn Bantu, Khidmat Bantuan Kombat TDDB dan pasukan Pancaragam dan Tambur. Perbarisan diketuai oleh Yang Mulia Mejar Mohd Roasri Erwan bin Haji Tasrif selaku Ketua Kawalan Perbarisan.
Upacara diteruskan lagi dengan menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Pemerintah TDDB diantara Yang Mulia Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dengan Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh.
Sebagai Pemerintah TDDB yang baru, Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh seterusnya menerima Tabik Hormat dan kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan dan diikuti dengan menyampaikan ucapan selaku Pemerintah TDDB yang ke 10.
Yang Mulia Kolonel Awang Khairul Hamed bin Awang Haji Lampoh mula berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 05 Februari 1990. Sebelum mengambil alih sebagai Pemerintah TDDB, beliau memegang jawatan Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejak 22 Ogos 2016.





